fbpx
Gambar Hiasan

Lelaki Kedah dakwa dimadukan isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan selepas wanita yang dikahwininya rupa-rupanya masih merupakan isteri orang.

Perkongsian tular di media sosial berkenaan mendedahkan pengalamannya mendirikan rumah tangga dengan wanita tersebut yang dikenali melalui sebuah kumpulan peminat kereta Perodua Axia.

Menurutnya, lelaki itu mengambil keputusan untuk berkahwin atas dasar tanggungjawab selepas wanita berkenaan mengaku hamil.

Pasangan itu difahamkan berkahwin di selatan Thailand bagi memudahkan urusan kerana tidak memerlukan kehadiran keluarga kedua-dua pihak.

“Selepas berkahwin, kami tinggal berasingan walaupun selepas keluarga mengetahui tentang perkahwinan itu. Katanya dia mahu menjaga ibunya di Jitra, manakala saya pula di Padang Serai.

“Sepanjang perkahwinan, saya tidak pernah ke rumah ibunya sebab tidak dibenarkan ke sana,” tulisnya.

Lelaki berkenaan turut membeli sebuah kereta Perodua Axia untuk kegunaan isterinya dan mendakwa tetap menunaikan tanggungjawab sebagai suami serta ayah tiri kepada dua lagi anak wanita terbabit walaupun tinggal berjauhan.

Bagaimanapun, semuanya terbongkar apabila bayi yang dikatakan anak mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Pada awalnya dia yang uruskan semuanya sebab kami hubungan jarak jauh. Namun ketika saya pergi ke hospital, saya tidak dibenarkan masuk, kerana status anak tidak sah taraf dan tiada sijil lahir. Dari situ keluarga mula rasa pelik,” ujarnya.

Namun selepas keluarga lelaki itu membuat semakan, mereka mendapati wanita berkenaan masih mempunyai suami yang sebelum ini diperkenalkan sebagai abang kandungnya.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan dokumen cerai palsu, namun semakan di pejabat agama mendapati status perkahwinan mereka masih sah.

“Kereta yang saya beli tu pun rupanya digunakan oleh suami dia. Ibu wanita itu pun tahu dan bersubahat, siap berlakon jadi besan di depan keluarga saya,” katanya.

Difahamkan, lelaki tersebut sudah membuat laporan polis serta ke pejabat agama dan siasatan sedang dijalankan terhadap pasangan terbabit.

Katanya lagi, beberapa individu lain turut tampil mendakwa pernah menjadi mangsa penipuan pasangan tersebut dengan pelbagai taktik berbeza, termasuk melibatkan kerugian ribuan ringgit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI