KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berdepan aksi cukup sukar sebelum mara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto sebentar tadi, bekas gandingan No.1 dunia itu terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum menang 21-23, 21-13, 26-24 ke atas beregu tuan rumah, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan yang diberi julukan DinFei itu bagaimanapun tersentak seketika apabila tewas di set pertama sebelum bangkit dengan aksi lebih baik di set kedua.
Memasuki set ketiga, perlawanan berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua beregu menampilkan aksi cukup baik selain berbalas serangan sehingga pemenang terpaksa ditentukan dalam penentuan ‘deuce’.
Tuah nyata menyebelahi Sze Fei-Izzuddin apabila mereka berjaya memenangi set ketiga itu dengan keputusan 26-24, sekali gus menamatkan perlawanan dalam tempoh 65 minit.
Menerusi kemenangan itu, mereka masih menghidupkan peluang bagi memburu kelayakan ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2025 yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 17 hingga 21 Disember depan.
Menanti Sze Fei-Izzuddin di suku akhir esok adalah beregu Taiwan, Lee Jhei Huei-Yang Po Hsuan yang turut menewaskan beregu Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa 21-18, 16-21, 21-14.
Turut meneruskan kemaraan ke suku akhir adalah dua beregu kebangsaan, iaitu Arif Junaidi-Yap Roy King serta Choong Hon Jian-Haikal Nazri. – KOSMO! ONLINE















