fbpx
Gambar hiasan.

Kajian hapus hukuman mati dilaksana tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan berpendirian bahawa cadangan penghapusan hukuman mati secara keseluruhan memerlukan penelitian yang lanjut dan terperinci, mengambil kira keseimbangan dilakukan antara kepentingan awam, keadilan kepada mangsa, serta prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M Kulasegaran berkata, kerajaan kini sedang dalam proses menubuhkan suatu Kumpulan Kerja Kajian Dasar dan Hala Tuju Hukuman Mati di Malaysia yang akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah Malaysia (CLRC) dalam pelaksanaan usaha berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan kerja yang sedang ditubuhkan itu akan dianggotai oleh semua pihak berkepentingan dalam sistem keadilan negara termasuk daripada pihak kerajaan, badan-badan peguam, pakar akademik undangundang jenayah dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

“Tujuan utama kajian ini adalah untuk memastikan sebarang keputusan oleh kerajaan mengenai kedudukan hukuman mati di Malaysia adalah
dibuat berdasarkan kepada justifikasi yang kukuh melalui pendekatan berasaskan bukti (evidence-based approach) dan setelah mendengar
pandangan dan hujahan semua pihak berkepentingan.

“Kajian ini akan melibatkan antara lain, kajian doktrinal mengenai kedudukan hukuman mati dari semua aspek, termasuk di peringkat antarabangsa dan sesi libat urus holistik juga akan diadakan bersama pakar undang-undang jenayah negara dan antarabangsa, ahli keluarga mangsa, ahli keluarga banduan akhir, dan pihak-pihak berkepentingan berkaitan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada Malaysia bersedia melangkah ke arah penghapusan sepenuhnya hukuman mati atau mengekalkan pendirian sedia ada.

Kulasegaran berkata, kajian berkenaan dijadual bermula pada Januari 2026 dan diperuntukkan tempoh empat bulan, namun kerajaan bersedia melanjutkan tempoh itu jika diperlukan untuk memastikan dapatan yang menyeluruh.

“Setakat 11 November tahun ini, data Jabatan Penjara Malaysia menunjukkan terdapat 97 individu yang telah disabitkan dengan hukuman mati dan masih belum menjalani hukuman tersebut.

“Mereka berada pada pelbagai peringkat proses undang-undang, termasuk menunggu keputusan rayuan terakhir atau berpeluang mengemukakan permohonan pengampunan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pada masa ini, hukuman mati masih kekal dalam sistem perundangan Malaysia sebagai salah satu bentuk hukuman jenayah yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah bergantung kepada budi bicara seorang hakim setelah mengambil kira fakta dan keadaan setiap satu kes jenayah yang pastinya unik dan berbeza.

“Namun, pada masa yang sama, suatu moratorium pelaksanaan hukuman mati yang telah dipersetujui oleh kerajaan pada tahun 2018 juga masih terus berkuat kuasa sehingga keputusan dasar muktamad ditentukan berkenaan hala tuju hukuman mati di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI