MILAN – Pejabat pendakwa raya awam di Milan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rakyat Itali berkunjung ke Bosnia-Herzegovina untuk aktiviti ‘safari penembak tepat’ semasa perang meletus pada awal 1990-an, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Rakyat Itali dan beberapa negara lain didakwa membayar sejumlah besar wang untuk menembak orang awam di bandar Sarajevo yang dikepung tentera Serb.
Aduan itu difailkan oleh wartawan dan novelis Ezio Gavazzeni, yang menggambarkan aktiviti pemburuan manusia oleh individu kaya dengan minat terhadap senjata.
Mereka dikatakan membayar bagi membunuh orang awam yang tidak berdaya dari kedudukan tentera Serbia di bukit-bukit sekitar Sarajevo.
Kadar berbeza dikenakan untuk membunuh lelaki, wanita atau kanak-kanak, demikian menurut beberapa laporan.
Lebih 11,000 orang terkorban semasa kepungan empat tahun yang kejam di ibu kota Bosnia-Herzegovina, Sarejevo.
Dakwaan serupa tentang pemburu manusia dari luar negara berulang kali dinyatakan selama ini. Namun, bukti yang dikumpulkan oleh Gavazzeni yang merangkumi keterangan seorang pegawai perisikan tentera Bosnia, sedang diteliti oleh pendakwa raya anti keganasan Itali, Alessandro Gobbis.
Pegawai itu berkata, rakan sekerjanya dari Bosnia mengetahui tentang apa yang dipanggil ‘safari’ pada akhir 1993. Dia kemudian menyampaikan maklumat tersebut kepada perisikan tentera Itali, Sismi awal 1994.
Menurutnya, maklum balas daripada Sismi dikeluarkan beberapa bulan kemudian. Mereka mendapati pelancong ‘safari’ itu diterbangkan dari bandar Trieste di sempadan utara Itali dan pergi ke bukit-bukit di sekitar Sarajevo.
“Kami telah menghentikannya dan tidak akan ada lagi safari,” kata pegawai itu. Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, perjalanan itu telah dihentikan.
Sementara itu, ketika bercakap kepada akhbar La Repubblica, Gavazzeni mendakwa bahawa sebilangan individu mengambil bahagian dalam kegiatan itu, dengan sekurang-kurangnya 100 orang.
Katanya, rakyat Itali membayar banyak wang untuk berbuat demikian dengan kadar sehingga €100,000 (RM480,000) bersamaan nilai pada masa kini. – AGENSI














