fbpx
Satu nota berbaur xenophobia diterima seorang guru bahasa Inggeris asal Malaysia yang tinggal di Yokohama, Jepun.

Guru Malaysia terima nota desak tinggalkan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang guru bahasa Inggeris dari Malaysia yang tinggal di Yokohama, Jepun menerima satu nota ditampal pada pintu rumah dan keretanya didakwa berbaur xenophobia yang mengarahkannya meninggalkan negara tersebut.

Memetik laporan South China Morning Post, guru tersebut dikenali sebagai Banden Tong berkongsi gambar nota berkenaan pada akaun Thread dan ia ditulis dalam bahasa Jepun.

Pada nota itu, ia ditulis iaitu “Faksi Konservatif Bandar Yokohama, kepada warga asing, sila tinggalkan Jepun. Kamu tidak dialu-alukan di sini. Jepun tidak perlukan imigran. Cukai rakyat Jepun bukan untuk kamu. Pulanglah ke negara kamu”.

Banden dilaporkan menemui nota tersebut selepas pulang daripada kerja dan ia kemudian dikongsikan di media sosial serta menerima ribuan reaksi dengan lebih 800 komen kebanyakannya menyokong guru berkenaan.

Dia meluahkan rasa sedih dengan mengatakan, “wahai konservatif, adakah kamu berpuas hati sekarang? Kerana kamu benar-benar telah menyakiti saya dengan mendalam.

“Saya dari Malaysia dan sejak kecil saya mengagumi Jepun. Ibu bapa saya juga mencintai budaya Jepun, jadi saya membesar dengan perasaan itu.

“Tahun lalu, impian saya menjadi kenyataan. Saya membeli sebuah rumah dan kereta di Yokohama. Saya bekerja sebagai guru bahasa Inggeris. Setiap hari saya gembira menghabiskan masa dengan pelajar-pelajar saya,” katanya.

Banden turut melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dan dimaklumkan siasatan serta rondaan turut ditingkatkan di kawasan kejiranannya.

Guru tersebut juga menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang menyokongnya termasuk seorang pengguna media sosial iaitu wanita Jepun mempunyai hubungan akrab dengan pelajar pertukaran Malaysia.

“Sebagai orang Jepun, saya meminta maaf. Bukan semua warga asing itu jahat. Menilai orang sebagai satu kumpulan adalah tanda kemiskinan jiwa,” katanya.

“Saya malu sebagai orang Jepun. Tolong jangan biarkan perkara ini mengusir anda, saya harap anda akan terus tinggal di Jepun,” kata seorang lagi pengguna lain.

Jepun berdepan isu pekerja asing, imigresen dan identiti nasional yang semakin memanas ketika populasi negara itu semakin menyusut dan menua dengan cepat.

Walaupun warga asing merangkumi kurang daripada tiga peratus populasi, kerajaan telah memperluas skim visa kerja untuk mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor seperti pembinaan dan penjagaan warga emas.

Pada masa sama, sentimen anti-imigran semakin ketara dalam politik apabila parti sayap kanan Sanseito, yang membawa slogan nasionalis ‘Jepun Didahulukan’ mencatat kejayaan mengejutkan dalam pilihan raya Dewan Atasan pada Julai lalu, meningkatkan jumlah kerusinya daripada satu kepada 14. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN