KUALA LUMPUR – Taktik sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai pekerja utiliti untuk mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar ibu kota akhirnya terbongkar selepas mereka dicekup polis di Setapak, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, serbuan pada pukul 5 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
“Ketika serbuan dilakukan, enam lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 42 tahun sedang memotong kabel bawah tanah tanpa sebarang kebenaran atau permit daripada pihak Telekom Malaysia.
“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai peralatan digunakan bagi kegiatan khianat dan curi kabel termasuk pemotong wayar, gergaji, gerudi, mesin penarik kabel, kunci diubah suai serta pakaian keselamatan seperti vest dan sarung tangan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak bekerja dan sudah giat menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu.
“Mereka beroperasi dengan modus operandi mencari penutup manhole di kawasan tertentu sebelum membuka penutup berkenaan dan meletakkan kon keselamatan seolah-olah sedang melakukan kerja penyelenggaraan.
“Seorang remaja berusia 17 tahun berperanan sepabai pembuka manhole manakala yang lain memotong kabel. Kesemua kabel tembaga yang dicuri akan dikupas dan dijual pada harga kira-kira RM16 sekilogram,” katanya.
Tambahnya, kumpulan yang digelar ‘Geng Kabel Manhole’ itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 30 kes kecurian kabel di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan kerugian dianggarkan mencecah RM300,000.
“Semakan mendapati lima daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau antara enam hingga 30 kes termasuk dua dikehendaki polis atas kesalahan narkotik. Suspek remaja pula tidak bersekolah dan terlibat sebagai pembantu,” katanya.
Mohamad Lazim berkata, hasil serbuan turut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun di Setapak pada semalam yang mengaku menjaga lokasi memproses kabel curi.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 30 batang sarung kabel, enam keping pembalut aluminium, segulung dawai besi dan satu gumpalan tembaga seberat kira-kira 10 kilogram,” ujarnya.
Katanya, kesemua suspek direman antara satu hingga lima hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – KOSMO! ONLINE














