fbpx
Mohamad Lazim (empat kiri) menunjukkan motosikal yang dirampas oleh pihaknya.

‘Geng Al Alim’ tumpas, 18 kes curi motosikal selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kegiatan licik satu kumpulan ‘Geng Al Alim’ aktif mencuri motosikal di sekitar ibu negara akhirnya tumpas apabila tujuh suspek ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur pada 23 September lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 34 tahun itu dipercayai aktif mencuri motosikal di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sejak beberapa bulan lalu.

“Hasil serbuan membawa kepada penahanan tujuh lelaki dan rampasan dua motosikal dalam keadaan tidak sempurna, dua rangka motosikal, pelbagai komponen kenderaan serta pakaian yang digunakan semasa melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan termasuk curi kenderaan dan dadah.

“Antara mereka, seorang mempunyai 18 rekod kes jenayah dan satu kes narkotik, manakala seorang lagi dikehendaki polis bagi empat kes dadah. Hanya seorang daripada mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut mendapati penahanan ‘Geng Al Alim’ itu berjaya menyelesaikan 16 kes curi motosikal di kawasan pentadbiran IPD Wangsa Maju dan dua kes di sekitar Selangor.

“Kesemua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 14 Oktober lalu,” ujarnya.

Mohamad Lazim turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN