KUALA TERENGGANU – Padah menggaji dan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis bawah kawalan masing-masing, antara September dan Oktober lalu, seorang majikan dan dua wakil syarikat didenda keseluruhan RM65,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap Wong Woon Yit, 59, manakala wakil CAG Majubina Sdn. Bhd. pula didenda RM20,000 dan RM15,000 bagi
wakil Jasa Mega Holding Sdn. Bhd.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Woon Yit didakwa membenarkan enam warga asing berusia 22 hingga 43 tahun tanpa dokumen sah tinggal di tapak perlombongan Tertak Batu (B), Bukit Cangkul Abas, Marang.
Wakil syarikat CAG Majubina pula didakwa membenarkan empat warga asing berusia antara 23 hingga 42 tahun tanpa pas sah tinggal di tapak pembinaan 130 unit rumah teres di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan wakil Jasa Mega Holding yang didakwa membenarkan tiga warga asing berusia 25 hingga 37 tahun tanpa dokumen sah tinggal di rumah pekerja dan kilang papan milik syarikat itu di Bandar Baru Cheneh, Kemaman.
Kesemua perbuatan itu masing-masing dilakukan pada 17 September serta 21 dan 22 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE















