LONDON – Pakar perpindahan, Fabrizio Romano mendedahkan nasib yang bakal dihadapi oleh pengendali Liverpool, Arne Slot yang berdepan kesukaran selepas pasukan itu mengalami kejatuhan prestasi yang ketara.
Kekalahan 0-3 ketika berdepan Manchester City di Etihad awal pagi Isnin lalu meletakkan Slot dalam tekanan yang hebat sehingga jawatannya sebagai pengurus pasukan itu juga mula menjadi persoalan.
Biarpun meraih kemenangan dalam perlawanan sebelum itu ketika membenam Aston Villa dan Real Madrid, kebangkitan itu gagal dikekalkan selepas mereka terpaksa akur dengan kehebatan percaturan Pep Guardiola.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool tewas tujuh kali dalam 10 perlawanan terakhiri untuk semua kejohanan menyebabkan kedudukan Slot semakin rapuh ketika beliau berbelanja besar pada jendela perpindahan lalu.
“Kita akan mulakan dengan melihat perkembangan Liverpool. Mereka berdepan kesukaran hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Walaupun menang dua perlawanan sebelum ini, mereka gagal beraksi dengan baik bertemu Manchester City.
“Mereka tewas banyak perlawanan setakat musim ini berbanding keseluruhan musim lalu selepas mengeluarkan dana besar membawa masuk pemain baharu.
“Apa yang jelas adalah mereka masih kekal menyokong pengurus mereka, Arne Slot. Liverpool kekal mempertahankan Slot dan percaya beliau adalah individu yang tepat untuk jawatan itu serta mampu memperbaiki situasi.
“Mereka kekal yakin. Mereka tidak menghubungi mana-mana ejen atau wakil calon-calon pengurus yang lain. Slot masih mendapat kepercayaan penuh,” kata Romano.
Selepas tempoh rehat aksi antarabangsa, Liverpool akan turun berdepan Nottingham Forest di Anfield sebelum bertemu PSV pada aksi Liga Juara-Juara dan kembali ke England untuk menentang West Ham United. – AGENSI














