LONDON – Chelsea diberikan amaran bahawa pemain sayapnya, Estevao mungkin bakal mengikut jejak langkah bekas pemain pinjaman, Jadon Sancho yang semakin gagal membuktikan kemampuan biarpun memulakan karier dengan cukup cemerlang.
Estavao yang diberi jolokan ‘Messinho’ dari Brazil mula mendapat perhatian peminat di Stamford Bridge selepas berpindah dari Palmeiras terutama ketika meledak gol kemenangan Chelsea pada masa kecederaan menentang Liverpool.
Dia juga berjaya membuktikan kualiti di pentas Eropah apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Ajax selain menyumbang jaringan buat Chelsea yang terikat 2-2 menentang Qarabag.
Bagaimanapun, bekas pemain England, John Barnes memberi amaran supaya Chelsea menguruskan masa depan pemain itu dengan lebih baik untuk mengelak dia terlalu berdepan tekanan hebat pada usia muda.
“Estevao adalah pemain muda yang datang menyertai kelab besar dan berjaya mempamerkan aksi dengan baik. Namun, saya teringat apa yang berlaku pada Jadon Sancho juga hampir sama.
“Anda perlu membiarkan dia berkembang mengikut masa dan tidak meletakkan tekanan terlalu besar untuk mereka pada usia semuda itu.
“Dia tidak sepatutnya beraksi setiap minggu kerana Chelsea memiliki ramai lagi pemain. Kita bimbang jika dia beraksi di bawah tahap sebenar dalam satu perlawanan, orang lupa bahawa dia pernah bermain dengan bagus 10 perlawanan lalu,” jelasnya. – AGENSI














