KOTA BHARU – Dua sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang pemilik butik pakaian wanita dengan parang semasa mangsa sedang bekerja di premisnya di Wakaf Che Yeh dekat sini kira-kira dua bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mohammad Faisal Mohamed Raffei, 36, dan Muhammad Farif Izuan Ghazali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang ke atas seorang wanita yang berusia 27 tahun.Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di Butik Baju Haniey, Wakaf Che Yeh di sini kira-kira pukul 4.10 petang pada 18 September lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin mewakili Muhammad Farif Izuan manakala Mohammad Faisal tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyime mencadangkan jaminan RM25,000 dengan dua penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.
Mohd. Firdaus dalam rayuannya memohon satu jaminan yang difikirkan munasabah untuk anak guamnya.
“Tertuduh bekerja sebagai penjual sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini dengan pendapatan sebanyak RM50 sehari.
“Selain itu, anak guam saya juga merupakan seorang duda yang menjaga sepenuhnya dua anak berusia tiga dan enam tahun. Kini, dua anak tertuduh dijaga buat sementara waktu oleh datuk dan nenek mereka yang masing-masing berusia 62 dan 65 tahun,” katanya.
Mahkamah tidak membenarkan Mohammad Faisal yang bekerja sebagai buruh diikat jamin manakala Muhammad Farif Izuan diberi jaminan RM15,000 dengan dua penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes dan Muhammad Farif Izuan tidak membayar jaminan tersebut.
Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang bekerja di dalam butik itu ditemani anak dan anak saudaranya didatangi kedua-dua tertuduh yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona.
Salah seorang tertuduh kemudian merampas rantai tangan dan barangan kemas yang ada di badan mangsa.
Seorang lagi tertuduh bertindak mengacukan sebilah parang sebelum merampas cincin dan telefon bimbit milik wanita itu. – KOSMO! ONLINE














