ISKANDAR PUTERI – Penjawat awam negeri Johor bakal menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri mengumumkan insentif khas dua bulan gaji pada Belanjawan Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif khas itu melibatkan 17,454 kakitangan awam yang sedang berkhidmat dalam kerajaan negeri dan akan mula dikreditkan Disember tahun ini.
Menurutnya, bantuan khas itu turut melibatkan kakitangan awam Persekutuan yang menerima gaji di bawah tanggungan kerajaan negeri.
“Bagi menghargai atas dedikasi dan usaha luar biasa penjawat awam negeri Johor, kerajaan negeri bersetuju memberikan ‘bonus’ sebanyak dua bulan gaji menerusi pemberian Insentif Khas Penjawat awam Negeri.
“Semoga insentif ini menjadi pemangkin motivasi untuk terus meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan, melaksanakan tugas dengan penuh integriti serta memberikan yang terbaik
kepada Bangsa Johor dan negeri tercinta ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengumumkan setiap penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini akan menerima RM500 seorang melalui Insentif Khas Penjawat Awam Persekutuan.
Jelasnya, peruntukan itu melibatkan RM70.1 juta membabitkan 140,185 penjawat awam Persekutuan.
“Sebagai tanda kasih dan penghargaan kepada penjawat-penjawat awam dan selari dengan semangat ‘whole-of-nation approach’ yang Johor terapkan, kerajaan negeri ingin menzahirkan
penghargaan kepada 140,185 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri Johor,’katanya. – KOSMO! ONLINE















