ISKANDAR PUTERI – Ekonomi Johor terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila Belanjawan Johor 2026 merekodkan unjuran hasil negeri meningkat kepada RM2.55 bilion, sekali gus menjadikan Johor antara negeri dengan kedudukan fiskal paling kukuh di Malaysia.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peningkatan hasil ini melangkaui unjuran asal yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2025, hasil pengurusan ekonomi berhemah serta pelaksanaan dasar pembangunan negeri yang berimpak tinggi.
“Alhamdulillah, ekonomi dan prestasi Johor Darul Ta’zim berada dalam keadaan yang amat memberangsangkan.
“Johor kini berada di landasan kukuh dengan hasil negeri mencecah RM2.5 bilion, disokong oleh peningkatan kutipan zakat, hasil pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) serta keuntungan GLC-GLC negeri,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa Belanjawan Johor 2026 mencatat belanjawan lebihan (surplus) sebanyak RM4.45 juta, hasil pengurusan fiskal yang berdisiplin dan keberkesanan strategi ekonomi negeri.
Sepanjang tempoh tiga tahun enam bulan ini, Johor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM218 bilion, mewujudkan lebih 64,000 peluang pekerjaan, dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 2.3 peratus.
Selain itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor sebanyak 6.4 peratus menjadikan Johor negeri dengan kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia, manakala nilai hasil jualan sektor pertanian berjumlah RM27.2 bilion juga merupakan yang tertinggi dalam negara.
“Peningkatan hasil ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan ekonomi Johor, tetapi juga bukti bahawa setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri membuahkan hasil nyata kepada rakyat,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE














