KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan berpendapat alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah mengandungi beberapa perkara yang perlu diperjelaskan semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hanya akan membuat rayuan terhadap alasan penghakiman mahkamah, bukannya terhadap keputusan mengenai pemberian khas 40 peratus itu.
“Alasan penghakiman ini pada faham kita banyak yang terlanjur dan bukan dalam bidang perundangan.
“Umpamanya, alasan bahawa kajian semula pemberian khas selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional, malah mengaitkan kesilapan besar kerajaan sejak 1974,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung rasional keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil dan sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu yang lain.
Anwar berkata, keputusan itu seolah-olah menggambarkan semua kerajaan terdahulu termasuk di bawah pimpinan Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan negeri sejak Tun Mustapha serta Tun Fuad Stephen, sebagai terlanjur, tidak sah dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Sabah.
Susulan itu katanya, surat rasmi telah dihantar oleh Perbendaharaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah untuk memulakan rundingan di peringkat teknikal sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang turut dianggotai Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak mahu isu itu dijadikan bahan politik atau perkauman, sebaliknya mahu rundingan dibuat secara harmoni demi kepentingan rakyat Sabah.
“Kalau kita tiupkan isu menghasut dan perkauman sempit, yang rugi rakyat di bawah. Yang untung hanya kepala-kepala di atas. Rakyat masih tanpa air, tanpa elektrik dan jalan rosak.
“Kerajaan Persekutuan terus komited membantu Sabah, termasuk menyalurkan pelbagai peruntukan seperti RM600 juta pemberian khas interim, RM2 bilion bagi bekalan elektrik, RM1 bilion untuk air bersih dan RM765 juta bagi projek Southern Link,” katanya. – KOSMO! ONLINE














