KUALA LUMPUR – Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Center (LaLaport BBCC) memperkenalkan ACG BASE sekali gus ‘syurga’ buat peminat dunia anime, komik dan permainan (ACG) serta budaya pop urban.
LaLaport BBCC menerusi kenyataannya, ACG BASE merupakan ruang untuk peminat tegar dan pengunjung baharu sekali gus menjadikan pusat beli-belah ini sebagai hab dinamik menghidupkan imaginasi, kreativiti dan semangat komuniti.
“Dengan pelancaran ACG BASE LaLaport BBCC memperkukuh evolusinya sebagai destinasi gaya hidup berteraskan DNA Jepun, sambil memperkenalkan pengalaman baharu mentakrif semula konsep runcit urban.
“Sebagai ruang pop budaya terbesar dan terbaharu di Malaysia, aras dua LaLaport BBCC kini menjadi destinasi gaya hidup interaktif.
“Peminat boleh meneroka, membeli-belah, menjamu selera dan berinteraksi dalam suasana diinspirasikan oleh watak serta pencipta kegemaran mereka,” menurut kenyataan berkenaan.
Terdahulu, Lalaport BBC membawa pengamal media meninjau dan merasai pengalaman di sekitar ACG BASE hari ini.

Dalam pada itu, ACG BASE menempatkan lebih 20 kedai dengan beberapa jenama dan platform fandom terkemuka dari Jepun, dengan tawaran barangan eksklusif, kolaborasi edisi terhad dan pengalaman runcit interaktif.
“Para peminat kini boleh meneroka premis ‘animate’ iaitu peruncit anime terkemuka dari Jepun yang kini dibuka secara tetap di LaLaport BBCC selepas kejayaan kedai pop-up terdahulu.
“Dengan keluasan lebih 3,900 kaki persegi, kedai ini pasti menarik perhatian peminat anime, manga dan permainan dengan pelbagai koleksi asli serta barangan eksklusif,” kata LalaPort BBCC.
Menurut kenyataan itu lagi, kedai pop-up animate sebelum ini kini telah dinaik taraf menjadi “Only Shop” eksklusif yang menawarkan barangan edisi terhad khusus untuk judul anime dan manga terpilih.
Selain itu, kafeteria bertema yang terletak di aras LG1 turut menampilkan konsep berbeza dari semasa ke semasa, memberikan pengalaman baharu dan mengujakan kepada peminat pada setiap kunjungan
Menambah lagi kemeriahan, KLP48 akan membuat persembahan di KLP48 Theatre, yang menjadi hab rasmi kumpulan ini di Malaysia.
“Sebagai kumpulan adik kepada AKB48 yang terkenal di Jepun, KLP48 akan mengadakan persembahan langsung setiap hari, memberi peluang kepada peminat bersorak, memberi sokongan dan berinteraksi dengan ahli kegemaran mereka di luar pentas konsert dan festival,” katanya.
Sementara itu, antara barisan jenama di ACG BASE seperti Bad Egg Club, Dimension Poptown, zon Doko Koko (Café, Goods, Pick Up, Space), K+ by Kadokawa Gempak Starz, KOBO 7, Mori Mory, Nullset Goods, NOT ONLY TOY, ORB Cafe, Photoism PLAY, Q Pocket, The Pink Room, Vibe Max, dan Xumi Goods.
Hab ini dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025, dengan jenama utama mula membuka operasi mereka di Malaysia bermula pertengahan Oktober baru-baru ini.
Bagi meraikan pembukaan ACG BASE, LaLaport BBCC turut memperkenalkan siri promosi eksklusif bermula 14 hingga 30 November yang mana pelanggan boleh menikmati pelbagai ganjaran
menarik di ACG BASE.
Dengan berbelanja RM300 dalam satu resit untuk menerima Baucar Tunai RM20atau berbelanja RM100 dalam dua resit pembelian pada hari yang sama untuk menikmati sekotak coklat atau biskut Beryl’s secara percuma.
Pelanggan juga boleh mendapatkan kad Sticker Rally di ACG BASE dari kedai yang mengambil bahagian dan menebus satu lagi Baucar Tunai RM20 apabila koleksi pelekat lengkap. – KOSMO! ONLINE














