SHAH ALAM – Sindiket dadah antarabangsa giat ‘memburu’ warga Malaysia untuk dijadikan keldai dadah dengan 55 orang direkodkan telah ditahan di luar negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu menunjukkan 50 orang daripadanya adalah lelaki, manakala selebihnya lima wanita ditahan di 16 buah negara.
Menurutnya, tangkapan paling tinggi dicatatkan di Indonesia dengan 10 individu diikuti Singapura (9), Taiwan dan Kemboja masing-masing lima serta Thailand (5).
Katanya, negara lain adalah Belgium, Laos dan Macau dengan masing – masing merekodkan tiga orang selain dua individu di Hong Kong dan Korea Selatan.
“Rekod juga menunjukkan seorang individu telah ditangkap di Maghribi, Myanmar, Norway, Jepun, Jordan serta Filipina.
“JSJN memandang serius kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan orang awam sebagai ‘keldai dadah’ atau drug mule sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! di sini semalam.
Tegasnya, hasil pemantauan JSJN mendapati, sindiket dadah akan sentiasa mencari mangsa baharu dan sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur, pekerjaan atau latar belakang.
Dalam pada itu, Hussein berkata, sindiket kini menawarkan upah lumayan antara RM1,000 hingga RM10,000 bagi penghantaran dadah dan menggunakan pelbagai modus operandi yang lebih kompleks daripada sekadar menyembunyikan barang terlarang itu dalam bagasi.
Antara modus operandinya ialah menelan kapsul dadah, melekatkan barang terlarang pada badan atau menyelitkan dadah dalam barangan peribadi seperti kasut, tali pinggang dan powerbank.
“Sindiket juga menggunakan mangsa untuk mengambil bungkusan melalui kurier.
“Malah ada yang bersetuju membawa atau daftar masuk bagasi milik orang lain, termasuk individu tidak dikenali atau kenalan dalam talian, sebelum akhirnya ditangkap,” jelasnya.
Hussein menambah, terdapat juga sindiket menggunakan mangsa untuk mengambil bungkusan yang dihantar melalui kurier.
“Selain ada mangsa bersetuju membawa atau daftar masuk bagasi milik orang lain, terutamanya individu tidak dikenali atau kenalan dalam talian selepas ditawarkan upah lumayan. Akhirnya ditangkap sebagai keldai dadah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada termasuk tidak terpedaya dengan tawaran palsu dan segera melaporkan mana -mana tawaran meragukan kepada pihak polis.
“Orang ramai diingatkan bahawa alasan ‘tidak tahu kandungan bagasi’ tidak diterima oleh kebanyakan negara yang mempunyai undang-undang dadah yang sangat tegas, termasuk hukuman mati dan penjara,” tegasnya.














