PETALING JAYA – Sebanyak 1,045 unit bas kenderaan elektrik (EV) dijadual beroperasi di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjelang tahun 2030.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad berkata, ia selaras dengan usaha memperkukuh pengangkutan awam hijau di negara ini.
Beliau berkata, sebanyak 150 unit bas EV akan diterima tahun depan sekali gus menjadi langkah awal bagi Prasarana supaya lebih bersedia menangani isu keselamatan berkaitan EV.
“Ketika ini Prasarana telah mengoperasikan 15 unit Bas Rapid Transit (BRT) EV di laluan Sunway sejak 2015, dan bakal diperluas ke jalan awam pada tahun hadapan.
“Semua aspek keselamatan kebakaran untuk bas EV telah diambil kira, termasuk latihan asas kepada pemandu dan kakitangan operasi bagi memastikan mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen ‘Risiko Saya, Tanggungjawab Saya’, hasil kerjasama Prasarana bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), di Menara Prasarana hari ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menyokong langkah awal Prasarana memperkenalkan 150 bas EV pada tahun hadapan sebagai permulaan ke arah pengoperasian penuh menjelang 2030.
“Kita telah melaksanakan kawal selia secara menyeluruh berkaitan pemasangan stesen pengecas EV di seluruh negara, dengan fokus utama di kawasan tumpuan awam serta bangunan-bangunan awam, terutamanya di aras bawah tanah (basement).
“EV kini menjadi cabaran baru kepada pihak JBPM. Contohnya, penggunaan selimut api atau fire blanket untuk kereta jika berlaku kebakaran lebih mudah. Namun untuk bas, ia lebih besar jadi kita akan lihat kaedah yang sesuai nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














