WOLFSBURG – Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menegaskan tidak ada lagi sebarang ‘eksperimen’ dalam dua aksi terakhir Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Luxembourg dan Slovakia.
Sebaliknya, beliau mahu memastikan skuad Die Mannschaft meraih tiga mata penuh dalam kedua-dua perlawanan tersebut bagi memastikan kelayakan automatik ke kejohanan empat tahun sekali itu.
Nagelsmann berkata, beliau tidak akan mengambil risiko dengan menggunakan kombinasi berbeza dalam perlawanan tersebut, lebih-lebih lagi selepas dikritik hebat dengan ‘eksperimen’ sebelum ini.
“Kami mahu ada keseimbangan dalam pasukan dan memerlukan dua pemain berkualiti untuk satu posisi. Apa yang penting sekarang adalah kami mahu mengutip enam mata dalam dua perlawanan ini dan layak ke Piala Dunia.
“Semua orang tahu kami tidak mahu bergantung kepada keputusan perlawanan lain, kami hanya mengharapkan prestasi sendiri. Kami berada di posisi yang baik ketika ini, jadi perlu kekalkan kedudukan itu,” katanya.
Pada ketika ini, Jerman yang merupakan juara dunia empat kali berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan akhir secara automatik apabila menghuni tangga teratas Kumpulan A dengan sembilan mata.
“Kami tidak boleh tercicir mata lagi seperti sebelum ini. Sekiranya kami melakukan kesilapan, Jerman berisiko untuk tidak mendapat slot kelayakan secara automatik ke Piala Dunia nanti,” ujar Nagelsmann. – AGENSI














