KUALA LUMPUR – Tapak menara komunikasi kini dipasang dengan kelengkapan anti kecurian dan vandalisme seperti sesalur besi untuk mengelakkan kabel tembaga daripada dipotong dan dicuri.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pemasangan pagar dan kunci keselamatan tambahan di ruangan kabinet yang menempatkan peralatan elektronik dan bateri turut dilaksanakan.
“Ini bagi melindungi aset tersebut daripada dirosakkan atau dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagi kawasan berisiko tinggi pula, pemasangan peralatan televisyen litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera turut dilaksanakan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mordi Bimol (PN-Mas Gading) berhubung langkah memastikan menara komunikasi baharu dilengkapi ciri keselamatan menyeluruh sejak awal pembinaan.
Nie Ching berkata, peralatan di tapak menara komunikasi turut dilengkapi peranti pengesan yang akan menghantar isyarat jika berlaku pencerobohan atau kerosakan kepada sistem pemancar.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pihak industri juga sedang merangka gerak kerja bagi menjalankan operasi bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Jelas beliau, kerjasama itu melalui aktiviti lawatan ke premis perniagaan atau pengumpulan barang lusuh yang berpotensi menjadi tempat pelupusan barangan seperti kabel tembaga, bateri dan peralatan elektronik.
Menjawab soalan Mordi berhubung kes seperti itu di Sarawak, Nie Ching berkata, negeri tersebut mencatatkan tiga kes kecurian dan 1,116 kes vandalisme dengan anggaran kerugian RM9.3 juta.
“Bagi tahun 2025 (sehingga suku kedua), Sarawak mencatatkan 33 kes kecurian dan 334 kes vandalisme melibatkan kerugian RM3.4 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE















