KUALA PILAH – Sepasang kekasih yang ditangkap awal pagi kelmarin di BPS 4, Senawang, di Seremban selepas dikejar empat kenderaan polis kira-kira 45 minit didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu, anggota polis sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut dan menghampiri kenderaan yang mencurigakan berkenaan lalu pemandu telah mengundurkan kereta dan melanggar MPV polis sebelum memecut melarikan diri.
Suspek dikejar dari Jalan Senawang menuju ke susur keluar ke Seremban berhampiran jejambat Lebuh Raya Kajang-Seremban, Senawang.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, kedua-duanya berusia awal 20-an dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Pemeriksaan di lokasi kita mendapati tiada apa-apa barang salah kita temui pada kenderaan jenis Perodua Bezza tersebut dan apabila kita soal siasat, kita dapati bahawa kedua-duanya takut ditangkap khalwat.
“Mereka duduk (parkir) di dalam keadaan di suatu kawasan yang sunyi sepi dan apabila kehadiran polis, mereka takut ditangkap ditangkap khalwat lalu bertindak nekad melarikan diri.
“Tertuduh lelaki bekerja sebagai juruteknik kilang, manakala, tertuduh wanita pula operator kilang. Kedua-duanya bekerja di Senawang dan pada awalnya dikesan di parkir berhampiran sebuah pasaraya di Senawang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Peluncuran dan Penyerahan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Tinggi, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan kes kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah Senawang bulan lalu, Alzafny berkata, pihaknya kini menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kimia dan apabila kesemua laporan tersebut telah diperolehi dan dilengkapkan, ia akan dikembalikan kepada timbalan pendakwa paya untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














