KUANTAN – Seorang wanita dan anak lelakinya cedera diserang pembantu rumah mereka selepas berlaku pergelutan di kediaman mereka di Kota Sultan Ahmad Shah di sini semalam.
Kejadian menyebabkan wanita berumur 57 tahun itu luka di kepala dan ibu jari tangan kiri manakala anak lelakinya berusia 28 tahun putus ibu jari tangan kiri serta luka di kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu wanita berkenaan yang berada di tingkat atas rumah terdengar jeritan anaknya di tingkat bawah. “Apabila turun dari tangga wanita berkenaan mendapati anaknya sedang bergelut dengan pembantu rumah di ruang tamu rumah dan dia terus ke arah pembantu rumah untuk meleraikan pergaduhan tersebut namun suspek bertindak melibas pisau dan terkena kepala mangsa.
“Kemudian wanita berkenaan telah merampas pisau yang digunakan oleh suspek namun suspek bertindak berlari ke arah dapur dan ingin mengambil pisau lain menyebabkan kedua-dua mangsa telah menghalang suspek dan berlaku pergelutan di ruang dapur,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek yang merupakan warganegara Filipina berusia 44 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan suspek mengalami tekanan bekerja di bawah majikan wanita berkenaan namun punca utama masih dalam siasatan.
“Suspek ada memaklumkan kepada ejen bahawa suspek berada dalam tekanan oleh kerana tempat kejadian adalah rumah yang besar berbanding rumah terdahulu serta suspek berasa panas duduk di sana.
“Suspek sudah bekerja selama 10 bulan dan hanya majikan wanita berkenaan dan suspek sahaja yang tinggal di rumah tersebut,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE














