fbpx
Shaharuddin (tengah) merasmikan pusat sehenti MM2H di TRX.

Pusat sehenti MM2H di TRX perkukuh daya tarikan Malaysia kepada ekspatriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Program Malaysia Rumah Keduaku atau Malaysia My Second Home (MM2H) melangkah ke era baharu dengan pelancaran pusat sehenti pertama yang diurus sepenuhnya oleh sektor swasta di The Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX). 

Langkah yang diterajui STF Revenue (MM2H) Sdn. Bhd. itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap prospek ekonomi dan daya saing Malaysia di peringkat global.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, program penempatan jangka panjang seperti MM2H memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi negara.

Menurutnya, usaha menarik warga asing berkualiti untuk menetap di Malaysia bukan sahaja mengukuhkan sektor pelancongan, malah membawa limpahan ekonomi yang meluas. 

“Di bawah seliaan MOTAC, program MM2H terus memainkan peranan penting dalam menarik kedatangan ekspatriat dan pelabur asing yang ingin membina kehidupan serta peluang di Malaysia.

“Kerangka baharu MM2H yang berperingkat, SEZ, Silver, Gold dan Platinum  memperkenalkan lebih banyak pilihan dan kejelasan kepada warganegara dunia,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Tambahnya, ia direka bukan sahaja untuk menarik mereka yang ingin menetap di Malaysia, tetapi juga mereka yang ingin berkembang dan melabur di sini, dalam sektor hartanah, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelbagai sektor lain.

Sehingga Julai 2025, MOTAC telah merekodkan lebih 3,300 permohonan baharu bagi program MM2H, membabitkan anggaran RM300 juta dana asing serta pelaburan hartanah melebihi RM430 juta.

Ini mencerminkan keyakinan antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menetap dan melabur.

Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara STF Revenue dan Rivertree Group.

Sementara itu, Pengarah Operasi Antarabangsa STF Revenue, Jonathan Low Choon Wai berkata, pusat sehenti di TRX diwujudkan bagi memudahkan proses serta memberikan pengalaman yang lebih selesa dan cekap kepada peserta program. 

“Kami mahu menjadikan pengalaman hidup di Malaysia sesuatu yang mudah, selesa dan menarik untuk pelabur, pesara dan profesional antarabangsa. 

Kehadiran kami di sini mencerminkan keyakinan terhadap negara sebagai hab gaya hidup dan pelaburan serantau,” jelasnya.

STF Revenue (MM2H) Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat di bawah STF Group, sebuah kumpulan korporat tempatan yang telah berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 2016. 

Bermula sebagai penyedia perkhidmatan tenaga kerja dan pengurusan pekerja asing, STF Group kini mengurus pelbagai operasi termasuk pemutihan tenaga kerja, pengendalian asrama pekerja, perkhidmatan kebersihan, serta pembangunan sistem pengurusan berasaskan teknologi.

Kumpulan ini turut meluaskan portfolio perniagaannya ke dalam sektor pelancongan jangka panjang menerusi lesen rasmi bagi program Malaysia My Second Home (MM2H) dan Premium Visa Programme (PVIP), selain menawarkan perkhidmatan pengurusan pembantu rumah.

Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara STF Revenue dan Rivertree Group.

Pemeteraian perjanjian kerjasama melibatkan dua tokoh industri iaitu Pengarah Urusan STF Group Datuk Wira Joey Yan daripada STF Group dan Pengarah Urusan Kumpulan Rivertree Group, Datuk Simon David Leong. 

Kerjasama terbabit bakal membuka ruang baharu bagi menarik minat pembeli antarabangsa untuk melabur dalam hartanah tempatan sambil mendapatkan sokongan visa dan penempatan jangka panjang melalui STF Revenue.

Datuk Simon berkata, mereka ingin memastikan apabila seseorang memilih Malaysia, mereka bukan hanya membeli rumah atau mendapatkan visa, tetapi membina kehidupan di sini.

Turut memperkukuh ekosistem ini ialah kerjasama STF dengan pemain-pemain industri lain seperti penerbangan dan kewangan melalui Batik Air, yang menawarkan tiket penerbangan pergi balik percuma bernilai sehingga RM5,000 kepada pemohon MM2H yang layak di bawah program Batik x STF.

Manakala kolaborasi STF dengan bank-bank tempatan pula menyediakan khidmat pembukaan akaun deposit tetap dan nasihat kewangan untuk pemohon-pemohon baru.

Langkah strategik ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan STF Group untuk menyokong agenda pelancongan dan pelaburan negara, selaras dengan persiapan Malaysia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang dijangka menarik lebih ramai pelabur, pesara dan profesional antarabangsa ke negara ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI