RAUB – Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol adik iparnya yang berusia 16 tahun di Karak, Bentong awal tahun ini.
Tertuduh yang berusia 22 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah flat pada pukul 11.15 pagi, 9 April lalu dan di kawasan air terjun pukul 5.30 petang, 25 Oktober lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Untuk pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa merogol mangsa di flat sama pada pukul 9.30 pagi, 11 April lalu dan dituduh mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab. Hadi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Januari 2026 untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE














