JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat kutipan bahan buangan pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM2,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) tahun lalu.
Tertuduh, Wong Teck Siong, 49, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Wong didakwa secara rasuah memberi wang tunai RM2,000 kepada seorang penjawat awam, Mohd. Afzan Abdul Sani, yang bertugas sebagai Pembantu Penguat Kuasa Gred KP19 di MBIP.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 2 November 2023 kira-kira pukul 5.45 petang di tapak pelupusan sampah haram di Taman Nusa Duta, Iskandar Puteri di sini.
Suapan itu diberi sebagai dorongan supaya pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap tertuduh yang didapati membuang sisa industri di kawasan tidak dikhaskan, satu kesalahan di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.














