TOKYO – Seorang wartawan menegur beberapa pelancong Malaysia kerana tidak menunjukkan rasa bersalah selepas mereka menconteng atau mengukir huruf pada batang buluh di Jepun, lapor portal berita MBS.
Kejadian berlaku apabila kumpulan wartawan mendekati mereka di Hutan Buluh Arashiyama yang merupakan salah satu tarikan popular di bandar raya Kyoto baru-baru ini.
Kumpulan wartawan itu membuat tinjauan kerana ukiran pada buluh meningkat dengan mendadak.
“Adakah anda tahu bahawa anda tidak dibenarkan mencoret pada buluh?” soal wartawan kepada seorang pelancong dari Malaysia.
“Tidak tahu,” jawab pelancong tersebut.
Pada buluh itu terdapat coretan baru berupa huruf ‘M’.
Pengerusi Persatuan Perniagaan Arashiyama, Ishikawa Keisuke berkata: “Sangat menyedihkan apabila coretan merosakkan pemandangan yang cantik.
“Lebih menyedihkan lagi kerana kami perlu mengeluarkan kos untuk membaikinya. Kami benar-benar mahu mereka berhenti melakukan perkara ini.”
Menurut kajian yang dijalankan oleh pihak bandar raya itu pada bulan Oktober lalu, sekitar 350 batang buluh telah dicoret di Arashiyama. – AGENSI














