KUALA LUMPUR – Sepasang panda gergasi dari China dijadual tiba di Malaysia minggu depan susulan pemeteraian perjanjian baharu antara kedua-dua negara pada 16 April lalu.
Perjanjian diperbaharui itu membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi yang lebih muda bagi tempoh 2025 hingga 2035.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, perjanjian itu dimeterai semasa lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia bagi meneneruskan penyelidikan Malaysia dan China dalam perlindungan serta pembiakan panda sebagai sebahagian usaha pemuliharaan bersama.
“Kerjasama itu mencerminkan hubungan kukuh dan komitmen kedua-dua negara dalam pemuliharaan hidupan liar sekali gus menjadi simbol persahabatan Malaysia dan China,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pasangan panda pertama, Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan kepada Malaysia pada 2014. Dua panda itu menjadi simbol persahabatan sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Haiwan itu dipulangkan ke China pada 18 Mei lalu selepas tamat tempoh pinjaman selama 11 tahun. Pasangan panda itu mencatat sejarah melahirkan tiga ekor anak hasil usaha pemuliharaan bersama Malaysia dan China.
Kejayaan itu menjadikan Malaysia antara negara yang berjaya membiakkan panda di luar habitat asalnya. Anak panda pertama, Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 14 November 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi pula dihantar pulang pada 29 Ogos 2023. – KOSMO! ONLINE














