fbpx
SYAHIRAH dan AZRUL menunjukkan projek digital ‘Otak Kilat’ yang dibangunkan bagi memudahkan pelajar menguasai asas perakaunan.

‘Otak Kilat’ harumkan nama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Inovasi pembelajaran digital ‘Otak Kilat’ hasil ciptaan dua pensyarah Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek berjaya mengharumkan nama Malaysia selepas meraih Anugerah Emas pada International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2025.

Projek Otak Kilat yang dihasilkan oleh pensyarah Jabatan Perakaunan, Azrul Haffiz Mohamed dan Syahirah Md. Sarip itu telah dibentangkan di Taipei, Taiwan dengan penyertaan beberapa negara lain termasuk Jepun, Mauritius, Singapura, Thailand dan Indonesia bermula dari 2 hingga 7 November lalu.

Menurut Syahirah, ‘Otak Kilat’ berjaya menarik perhatian juri antarabangsa menerusi pendekatan kreatif serta impak positif terhadap komuniti pendidikan.

Jelasnya, inovasi itu dibangunkan bagi membantu pelajar mengukuhkan asas dalam subjek perakaunan melalui kaedah pembelajaran interaktif dan menyeronokkan.

“Apabila asas pelajar kukuh, topik lanjutan seperti Financial Accounting 2 (FA2) hingga FA5 iaitu subjek lanjutan dalam silibus perakaunan akan lebih mudah difahami, kami mahu pelajar belajar dengan cara yang menyeronokkan sambil menguasai konsep penting perakaunan.

“Kajian menunjukkan peningkatan ketara prestasi pelajar dengan skor purata ujian meningkat daripada 4.86 kepada 10.00, manakala pelajar berprestasi rendah berkurang daripada 15.10 kepada hanya lima peratus,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Tambahnya, ‘Otak Kilat’ diperkenalkan menggunakan watak kartun interaktif ‘Yusya’ sebagai pemandu pembelajaran, dibangunkan melalui pendekatan Plan-Do-Check-Act (PDCA).

Rakan sepasukannya, Azrul pula berkata, pengiktirafan itu membuktikan inovasi warga pendidik Mara mampu menembusi peringkat antarabangsa dan memberi inspirasi kepada tenaga pengajar lain.

“Kami berharap ‘Otak Kilat’ terus dimanfaatkan oleh pelajar serta pendidik sebagai alat bantu belajar berkesan dan mudah difahami,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah KPM Ayer Molek, Noorzilawati Sabtu, menyifatkan kejayaan dua pensyarah berkenaan sebagai bukti komitmen institusi tersebut dalam memperkukuh budaya inovasi serta kecemerlangan akademik.

“Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga KPM dan Mara untuk terus menghasilkan solusi kreatif yang memberi impak besar kepada dunia pendidikan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI