fbpx
Nadiah dan Abdul Rahman ketika dibawa keluar selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Op Tiger: Dua bekas pegawai bank dituduh rasuah pinjaman RM5.83 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dua bekas pegawai bank termasuk seorang daripadanya sedang hamil tujuh bulan dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah penyediaan pinjaman pembiayaan perumahan bernilai RM5.83 juta antara 2018 hingga 2022.

Kedua-dua tertuduh iaitu Nadiah Zakaria, 33 dan Abdul Rahman Shahrudin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Nadiah didakwa enam pertuduhan telah secara rasuah menerima wang tunai keseluruhan RM11,444 ke dalam akaun bank miliknya daripada akaun bank milik sebuah firma guaman sebagai upah menyediakan enam dokumen penjanjian pembiayaan perumahan bernilai RM3.22 juta.

Abdul Rahman pula didakwa tujuh pertuduhan rasuah keseluruhan berjumlah RM7,366 yang dimasukkan dalam bank milik isterinya daripada akaun bank firma guaman sama bagi penyediaan 10 penjanjian pembiayaan sama bernilai RM2.61 juta.

Justeru mereka melakukan kesalahan dibawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa masing-masing enam dan tujuh pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 25 (1) Akta SPRM yang boleh dihukum bawah Subseksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah cawangan bank di Seksyen 13 di sini antara 2018 hingga 2022.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini bekerja sebagai Perunding Jualan Gadai Janji di sebuah bank yang sama namun berlainan cawangan.

Timbalan Pendakwa raya SPRM Nurul Izzati Sapifee mencadangkan jaminan RM15,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Selain itu, perlu melaporkan diri sekali sebulan di pejabat SPRM bagi Abdul Rahman manakala Nadiah diberikan kelonggaran susulan hamil tujuh bulan.

Peguam Muhamad ‘Aizat Adli Zalil dalam mitigasi memaklumkan Nadiah kini hamil tujuh bulan dan tidak lagi bekerja dengan mempunyai dua anak.

“Dia hanya bergantung kepada suami yang berpendapatan RM3,000 sebulan sebagai juruteknik kanan. Dia hanya membawa RM5,000 sahaja hari ini,” katanya.

Abdul Rahman yang tidak diwakili peguam turut merayu jaminan dikurangkan susulan sudah setahun tidak bekerja dengan gaji terakhir diterima pada Oktober tahun lalu selain menyara isteri dan dua anak serta kedua-dua ibu bapanya yang uzur.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 kepada Nadiah dengan sebutan semula pada 27 April tahun depan manakala RM5,000 untuk Abdul Rahman dengan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Untuk rekod, kedua-dua tertuduh adalah antara individu ditahan dalam Op Tiger.

Setakat hari ini, seramai sembilan individu telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dengan tiga individu mengaku salah serta menerima hukuman masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI