fbpx
Alexander menandatangani plak perasmian majlis pecah tanah Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) di Plaza Tol Pantai Dalam, Lebuh Raya NPE. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

NPE2 mampu alih 200,000 kenderaan, jimat 25 minit masa perjalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya bakal menikmati penjimatan masa perjalanan sehingga 25 minit apabila Projek Sambungan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE2) siap sepenuhnya pada tahun 2029.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek sepanjang 6.4 kilometer (15 kilometer panjang termasuk tanjakan) yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana itu dijangka menjadi penyelesaian strategik kepada kesesakan teruk di koridor Pantai Dalam–Bangsar–Mahameru.

“NPE2 akan mengalihkan kira-kira 200,000 buah kenderaan atau 40 peratus aliran trafik dari Jalan Bangsar ke pusat bandar sebaik ia beroperasi.

“Apabila siap kelak, pengguna boleh menjimatkan masa perjalanan dari Bangsar atau Mid Valley ke Subang Jaya sehingga 25 minit dengan tahap perkhidmatan jalan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek NPE2 di sini, hari ini.

Menurut Nanta, projek bernilai RM1.7 bilion itu dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn. Bhd. tanpa melibatkan sebarang beban kewangan kepada kerajaan.

“Ini contoh terbaik model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) yang berjaya dilaksanakan bagi membangunkan infrastruktur negara secara mampan,” katanya.

Tambah beliau, projek tersebut telah melalui proses kelulusan rapi termasuk kelulusan prinsip Jemaah Menteri pada 1 Jun 2022 dan kelulusan penuh pada 22 Mei lalu, sebelum Perjanjian Konsesi Tambahan (SCA) dimeterai pada 22 Ogos.

Nanta menjelaskan, NPE2 turut menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040, yang menyasarkan penyuraian trafik secara mampan serta mewujudkan hubungan terus antara lebuh raya tanpa perlu melalui pusat bandar.

“NPE2 melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam membangunkan jaringan lebuh raya yang bukan sahaja mengurangkan kesesakan, malah memperkasa kesejahteraan rakyat dengan perjalanan yang selamat, cepat dan efisien,” katanya.

Beliau juga yakin projek berkenaan akan menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam usaha memperkukuh sistem infrastruktur negara yang berimpak langsung kepada rakyat.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI