fbpx
Salehuddin dan Mohd. Zuki melihat pertukaran MoU antara Mohd. Sabirin (dua kiri) dan Sazaliza (dua kanan) pada majlis di Shah Alam, hari ini.

MAIS, KWSP bersama kutip RM3 juta Wang Tidak Patuh Syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM3 juta tahun ini, susulan masih ramai masyarakat Islam terlibat dalam urusan perniagaan dan transaksi kewangan yang tidak mematuhi syariah.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, berdasarkan rekod, sejumlah RM2.7 juta berhubung Wang Tidak Patuh Syariah telah dikutip pada tahun lalu.

Beliau menegaskan masyarakat Islam perlu memastikan setiap harta yang diperoleh adalah halal dan menepati hukum syarak.

“Saya melihat masih banyak ruang yang perlu diperhalusi oleh masyarakat dalam memastikan harta yang diperoleh adalah patuh syariah.

“Justeru, kami berharap masyarakat Islam di Selangor lebih cakna dan menyalurkan wang atau hasil tidak patuh syariah kepada MAIS untuk digunakan bagi kebaikan maslahah ummah,” katanya ketika berucap di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Mohd. Zuki Ali menyaksikan majlis menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

MoU itu disempurnakan oleh Setiausaha MAIS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, dan Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin.

Salehuddin berkata, kerjasama itu membolehkan MAIS menawarkan kursus pengurusan harta pusaka Islam kepada anggota KWSP, khususnya barisan hadapan di cawangan KWSP melalui Akademi Baitulmal MAIS.

“Selain itu, mempromosikan akaun Simpanan Syariah KWSP dan kewajipan membuat penamaan untuk simpanan KWSP semasa khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Selangor.

“MoU ini juga merupakan salah satu strategi untuk MAIS menyebarluaskan perkhidmatan dengan menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti KWSP yang mempunyai 8 juta ahli,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI