fbpx
Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah tiada kuasa semak keputusan Lembaga Pengampunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini berpendirian, banduan yang telah menerima pengampunan terhadap hukuman mati dan diberikan hukuman pemenjaraan bertempoh, tidak boleh mengemukakan permohonan semakan di bawah Akta 847.

Sebaliknya, mereka hanya boleh mengemukakan permohonan semakan di bawah akta berkenaan selepas lembaga pengampunan mengekalkan hukuman mati atau memberikan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat (natural life).

Akta 847 melibatkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori serta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan keputusan panel terdahulu yang membenarkan tiga banduan yang sudah menerima pengampunan bagi hukuman mati untuk memohon semakan di bawah undang-undang 2023.

Ketiga-tiga banduan itu ialah G. Jiva, 55, dan dua wanita iaitu warga Thailand Phrueksa Taemchim, 41, dan warga Zambia Mailesi Phiri, 48.

Dalam penghakiman, panel sebulat suara berpuas hati, permohonan semakan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 mempunyai merit.

Empat lagi hakim lain yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Sebelum ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 Ogos 2024, dengan keputusan majoriti 2-1 telah membenarkan permohonan ketiga-tiga banduan berkenaan yang mana memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan semula di bawah Akta 847.

Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan telah mengemukakan permohonan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan tersebut.

Ketiga-tiga banduan itu, sebelum ini dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah namun telah menerima pengampunan daripada Lembaga Pengampunan yang menukar hukuman mati mereka kepada penjara selama 30 tahun bermula dari tarikh keputusan lembaga berkenaan.

Mereka kemudiannya memohon kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Akta 847 untuk menyemak semula hukuman berkenaan supaya tempoh penjara mereka dikira bermula dari tarikh tangkap masing-masing.

Pada prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berhujah banduan yang hukuman mati mereka telah dikurangkan kepada penjara seumur hidup melalui pengampunan tidak berhak memohon semakan lanjut di Mahkamah Persekutuan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori serta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).

Beliau berkata Akta 847 hanya terpakai kepada dua kumpulan tertentu banduan yang hukuman mati mereka telah diganti kepada penjara seumur hidup dan rayuan pengampunan telah ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Saiful Edris berhujah bahawa melanjutkan hak untuk memohon semakan kepada mereka yang telah diberikan pengampunan akan melampaui skop Akta 847 serta melangkaui hak prerogatif pengampunan yang diperuntukkan secara eksklusif di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Akta 847 berfungsi sebagai mekanisme khas dan sementara bagi banduan yang dijatuhkan hukuman mati dan penjara seumur hidup untuk memohon semakan hukuman susulan penggubalan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

Beliau berkata ketiga-tiga banduan masih mempunyai saluran rayuan melalui proses pengampunan di bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000 untuk memohon agar hukuman mereka bermula dari tarikh tangkapan.

Sementara, peguam-peguam yang mewakili ketiga-tiga banduan berhujah bahawa banduan yang tidak lagi menunggu hukuman mati boleh memohon semakan semula di bawah Akta 847.

Peguam Mailesi, Abdul Rashid Ismail berkata sebarang tafsiran undang-undang yang mengecualikan individu yang telah diberi pengampunan akan secara efektif menghukum mereka yang diberi pengampunan sambil memberi kelebihan kepada mereka yang tidak menerimanya.

Beliau berkata anak guamnya telah menjalani hukuman 14 tahun penjara. Di bawah undang-undang semasa, beliau masih berdepan dengan baki 27 tahun, sambil menambah ini melebihi sebarang hukuman yang boleh dikenakan hari ini untuk kesalahan yang sama.

Sementara, peguam Jiva, Datuk N. Sivananthan dibantu oleh Wan Muhamad Yusuf Wan Hussin berhujah bahawa anak guamnya akan berada dalam kedudukan yang tidak adil sekiranya dikehendaki meneruskan menjalani hukuman dari tarikh pengampunan, manakala individu lain dalam kedudukan serupa telah dibebaskan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Ogos 2024.

Beliau berkata anak guamnya berumur 55 tahun dan jika hukuman penjara bermula dari tarikh pengampunan, dia hanya akan dibebaskan ketika berusia 72 tahu

Peguam K. Simon Murali yang mewakili Phrueksa pula berhujah bahawa anak guamnya tidak dapat memohon semakan semula di bawah Akta 847 jika permohonannya untuk mengubah tarikh bermulanya hukuman kepada tarikh tangkapan ditolak kerana keputusan Lembaga Pengampunan tidak boleh dicabar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI