KAJANG – Satu kejadian lubang benam dilaporkan berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, di sini, semalam.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz berkata, pihaknya sudah membuat laporan berhubung insiden itu kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
“Tindakan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan sedang diambil,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam dan MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, lubang benam tersebut berkedalaman empat meter dan tindakan menutup laluan dilaksanakan bagi keselamatan pengguna lalu lintas.
“Siasatan di lokasi mendapati lubang benam berlaku berhampiran dengan jajaran paip utiliti pembetungan agensi berkaitan. Pihak MPKj sudah memaklumkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video di media sosial menunjukkan kejadian lubang benam dan terdapat air yang mengalir dari lubang berkenaan. – KOSMO! ONLINE














