fbpx
HAKIM DANISH mempunyai satu lagi peluang di GP Valencia untuk membuktikan potensi dan reputasinya. - FB ZK RACING

KPI baharu Hakim Danish di GP Valencia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli kini berdepan misi lebih besar apabila dicabar untuk bersaing dalam kelompok hadapan menjelang aksi penutup tirai di Grand Prix (GP) Valencia, hujung minggu ini.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, percaya dengan potensi yang ditunjukkan anak didiknya sewaktu di GP Portugal membolehkan Hakim Danish mencabar pelumba terbaik dunia.

Katanya, Hakim Danish yang memulakan perlumbaan di petak ke-17 berjaya mengawal tekanan sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, sekali gus meraih empat mata berharga kejuaraan dunia pertamanya.

“Secara keseluruhan, kami sangat gembira dengan empat mata yang diraih Hakim Danish. Potensi yang ada padanya jelas terserlah.

“Saya berharap dia akan dapat berlumba dalam kelompok hadapan di GP Valencia nanti,” ujar Zulfahmi.

Sewaktu di Portugal, Hakim Danish yang beraksi bersama FRINSA-MT Helmets – MSI itu
terpaksa bermula dari petak ke-17 selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi kelayakan sekali gus menyukarkan mana-mana pelumba untuk mengejar podium.

Mengulas mengenai insiden itu, Zulfahmi menyifatkannya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran penting bagi pelumba berusia 18 tahun tersebut untuk memulakan cabaran lebih getir tahun depan sebagai pelumba sepenuh musim.

“Saya rasa dia menunjukkan kemajuan yang sangat baik, kecuali pada sesi kelayakan di mana dia terjatuh pada bahagian awal dan terpaksa bermula dari petak ke-17.

“Namun dalam perlumbaan, dia melakukannya dengan sangat baik. Terdapat beberapa aspek yang masih boleh diperbaiki, tetapi saya tahu dia telah memberikan yang terbaik, begitu juga pasukan yang telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk Hakim Danish.

“Kita boleh lihat bahawa potensi Hakim memang ada. Tahniah kepada Hakim Danish atas prestasi cemerlangnya,” tambahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI