PETALING JAYA – Tiada bukti mengaitkan pengarah dan penyanyi kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, sehubungan itu, Namewee akan dilepaskan dengan jaminan polis.
“Kami menawarkan jaminan polis. Sehingga kini, tiada petunjuk yang menunjukkan bahawa beliau terlibat dalam menyebabkan kematian mangsa,” katanya malam ini.
Beliau memaklumkan, bagaimanapun siasatan berhubung kes tersebut masih diteruskan.
“Arahan untuk siasatan lanjut telah dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Namewee direman enam hari sehingga kelmarin bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kosmo! turut melaporkan, reman terhadap Namewee, dilanjutkan selama tiga hari mulai semalam hingga esok.
Terdahulu, Namewee, 42, tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 November lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaaan sebagai mati mengejut (SDR), namun kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes siasatan itu susulan kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan berusia 31 tahun yang ditemukan tidak bernyawa di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE














