KUALA LUMPUR – Polis telah merujuk kertas siasatan berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, melibatkan pengarah dan penyanyi kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut untuk tindakan seterusnya.
“Kertas siasatan kes ini telah dirujuk ke pejabat TPR pada hari ini dan masih menunggu arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Namewee direman enam hari sehingga kelmarin bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kosmo! turut melaporkan, reman terhadap Namewee, dilanjutkan selama tiga hari mulai semalam hingga esok.
Terdahulu, Namewee, 42, tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 November lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Sebelum ini, Fadil dilaporkan berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaaan sebagai mati mengejut, namun kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes siasatan itu susulan kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan berusia 31 tahun yang ditemukan tidak bernyawa di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE














