PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan Ekonomi Madani yang diumumkan semalam bukan sekadar catatan angka dan pelaporan, sebaliknya bukti nyata hasil kerja gigih serta disiplin tinggi seluruh warga perkhidmatan awam.
Anwar berkata, setiap penjawat awam perlu sentiasa memperkukuh prestasi kerja dan mempunyai tahap kewaspadaan yang tinggi bagi mengelak diri serta negara daripada dilanda kealpaan dan kecuaian.
“Jabatan ini dan amanah yang dipikul merupakan pinjaman kepada kita. Justeru, ia mengingatkan kita semua, termasuk saya sendiri, bahawa segalanya adalah pinjaman dan amanah daripada Allah SWT,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, kekuatan bangsa tidak hanya diukur melalui kemantapan ekonomi, tetapi juga sejauh mana rakyat dan penjawat awam mampu membersihkan jiwa serta mewujudkan suasana kerja yang efektif.
“Kita tidak akan kekal andai tiada pencerdasan dan keinsafan dalam diri. Budaya lekas berpuas hati atau ‘the culture of containment’ seperti disebut John Kenneth Galbraith, adalah racun yang menumpulkan semangat untuk memperbaiki diri dan sistem,” katanya.
Justeru, katanya, setiap lapisan kepemimpinan mesti terus berfikir, memperbetulkan dan menambah baik segala dasar serta tindakan, bukan sekadar berbangga dengan pencapaian lampau.
Beliau turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang-sidang berkaitan baru-baru ini yang disifatkan sebagai bukti kemampuan negara kecil ini berdiri tegak di rantau Asia Tenggara.
“Alhamdulillah, kita telah membuktikan kemampuan menempa sejarah dengan penganjuran sidang sebesar itu yang menyerlahkan kecekapannya, keselamatannya dan keseragamannya. Saya berbangga setulusnya,” ujarnya.
Tambahnya, setiap dasar dan tindakan kerajaan perlu bertunjangkan nilai kesederhanaan serta tanggungjawab agar kejayaan yang dikecapi kekal menjadi warisan bermakna untuk negara. – KOSMO! ONLINE














