Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengharumkan nama Malaysia di rantau Asia selepas muncul kelab kesembilan terbaik di benua ini sekali gus mengatasi beberapa kelab ternama Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan ketika ini.
Kejayaan itu turut menyaksikan Harimau Selatan yang mengungguli Piala FA 2025 itu kekal berada dalam kelompok 10 kelab elit Asia dengan kedudukan pertama kekal menjadi milik pasukan gergasi Liga Pro Arab Saudi, Al Hilal.
Menerusi pemerhatian Kosmo! di laman theanalyst.com, skuad Harimau Selatan menjadi kelab nombor satu Asia Tenggara dengan mengatasi kelab seteru dari Thailand, Buriram United.
Juara bertahan Liga Super itu kini berada di ranking ke-208 dunia berbanding 214 sebelum ini, kesembilan di Asia dan pertama di Asia Tenggara berdasarkan data yang dikeluarkan laman Opta Power Ranking pada 10 November 2025.
Laman analisis serta statistik bola sepak antarabangsa ini menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia.
Peningkatan posisi JDT bukanlah sesuatu yang mengejutkan selepas cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila menewaskan dua kelab China, Chengdu Rongcheng dan Shanghai Shenhua, baru-baru ini.
Dua lagi kelab Liga Pro Arab Saudi, Al Nassr dan Al Ahli berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Asia manakala dua kelab Jepun, Kashima Antlers dan Sanfrecce Hiroshima melengkapkan kedudukan ‘Top 5’.
Kelab terbaik dunia ketika ini secara statistik masih kekal menjadi milik Arsenal diikuti Bayern Munich di kedudukan kedua dan Manchester City di tempat ketiga.
Skuad Harimau Selatan sebelum masih segar dengan kejayaan mengikat pendahulu Liga Super China, Shanghai Port 2-2 pada aksi pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Rabu lepas.
Sementara itu, kelab terbaik Liga Malaysia selepas JDT adalah Selangor FC yang menduduki tangga ke-1490 secara global disusuli Terengganu FC (ke-1917) dan KL City (ke-1985).














