fbpx
Anwar hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan November 2025 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

Jangan selesa, waspada iri hati permusuhan luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Malaysia perlu mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap sikap iri hati dan permusuhan luar susulan kejayaan yang sedang dikecapi negara ketika ini termasuk pretasi ringgit terbaik di Asia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam hal ini, penjawat awam dinasihatkan supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian ekonomi semasa, sebaliknya kekal berwaspada dalam mengurus kejayaan negara.

Katanya,Malaysia kini mencatatkan beberapa pencapaian membanggakan termasuk prestasi ringgit terbaik di Asia, kadar pengangguran terendah dalam tempoh 10 tahun serta jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.

“Kita bersyukur dengan kejayaan ini, tetapi bersyukur itu harus disertai kewaspadaan. Negara kecil seperti Malaysia bila meningkat maju tentu menjadi perhatian.

“Positifnya, ia menarik pelaburan dan pelancongan, tetapi pada masa sama kita perlu waspada terhadap kemungkinan iri hati dan permusuhan luar,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kemajuan dan kestabilan dinikmati Malaysia ketika ini tidak boleh dianggap mudah kerana negara lain yang mempunyai komposisi kaum dan agama berbeza sering berhadapan ketegangan dan ketidaktentuan.

“Kita sering ambil mudah keharmonian ini. Tapi cuba lihat negara lain di Asia atau Afrika, banyak yang kelihatan aman, tapi hakikatnya rapuh dan mudah terjejas.

“Sebab itu saya tekankan, jangan buat andaian mudah. Jaga keharmonian ini,” katanya.

Anwar berkata, kestabilan politik dan tata kelola yang baik juga penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Katanya, ahli politik tidak seharusnya menjadikan kaum, negeri atau parti sebagai asas perjuangan sempit kerana kepimpinan sebenar ialah yang menjaga kepentingan semua rakyat.

“Bayangkan kalau kita urus dengan baik, saya percaya manfaat kepada rakyat itu akan jauh lebih baik.

“Tetapi kalau orang politik itu bicara soal kaum, negeri, parti dia dan kepentingan kelompoknya sahaja, padahal kalau diurus dengan baik kita jaga kepentingan rakyat semua dan pengagihan itu jauh lebih adil,” katanya.

Anwar berkata, berdasarkan lembaran sejarah, tiada negara mampu bertahan lama apabila mula dilanda kealpaan dan rasa terlalu selesa hingga mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan negara.

“Kita ini makhluk kerdil. Jabatan atau kedudukan yang dipegang hanyalah amanah sementara. Laksanakan dengan sebaik mungkin, sama ada ketua unit, ketua jabatan atau Perdana Menteri sekali pun, semuanya tidak kekal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN