BEIRUT – Dron Israel menggugurkan bom di beberapa kawasan di selatan Lubnan kelmarin, mencetuskan kebakaran besar yang melanda hutan dan kawasan pertanian, lapor laman berita Middle East Monitor semalam.
Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), dron- dron Israel menyasarkan kawasan Mreisseh dan Qalaat Meis yang terletak di antara bandar Ansar serta Zrarieh, sebelum waktu tengah hari.
Ia kemudian mencetuskan kebakaran besar di ladang kering dan kawasan berhutan.
Pasukan bomba dari Doueir, Zrarieh dan Kfarsir dengan bantuan unit khas, bergegas untuk mengawal api yang merebak pantas ke kawasan tersebut.
Namun, usaha mereka terhalang akibat bahan letupan yang sebelum ini ditinggalkan semasa serangan Israel sebelum memaksa sebahagian pasukan berundur dari kawasan terjejas.
Agensi berita itu menambah bahawa satu lagi kebakaran berlaku di antara Sharqiyah dan Namiriyah, dipercayai berpunca daripada dron yang menggugurkan bahan pembakar.
Pasukan pertahanan awam akhirnya berjaya mengawal kebakaran tersebut.
Selatan Lubnan masih dipenuhi dengan senjata dan peluru tidak meletup peninggalan konflik lama Israel, yang terus mengancam nyawa orang awam serta pasukan penyelamat.
Walaupun perjanjian gencatan senjata antara Hizbollah dan Israel dimeterai pada akhir November 2014, Rejim Zionis melakukan ribuan pelanggaran, termasuk pencerobohan ruang udara serta serangan rentas sempadan.
Serangan itu mengakibatkan sejumlah orang awam awam terkorban dan cedera di Lubnan, selain menyebabkan kerosakan harta benda yang besar. – AGENSI














