KUALA LUMPUR – Seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ketika diiringi anggota polis, wanita itu memakai dres berwarna merah gelap (maroon) dengan kedua-dua tangannya bergari.
Sebelum ini, Polis Kuala Lumpur memaklumkan wanita itu yang disiasat kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menghina akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat
Ini selepas kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Kes pada malam Selasa lalu di Jalan Ipoh, di sini berlaku apabila anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap seorang lelaki Pakistan yang dikatakan memandu tanpa lesen.
Namun, wanita tersebut didakwa mempertikai tindakan anggota bertugas dan menuduh mereka tidak mengetahui undang-undang selain mendakwa polis mengugut warga asing berkenaan.
Difahamkan, Inspektor Sheila digantung tugas sejak 23 Jun 2023. Ini selepas wanita itu teraplit dengan beberapa kes termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas. – KOSMO! ONLINE














