fbpx
Inspektor Sheila ketika dibawa ke mahkamah hari ini.

‘Inspektor Sheila’ mengaku tidak bersalah halang tugas anggota polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pegawai polis yang kini digantung tugas, ‘Inspektor Sheila’, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugasnya, minggu lalu.

Tertuduh, Sheila Sharon Steven Kumar, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis, Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, daripada menjalankan fungsi awam dalam tugas rondaan cegah jenayah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 8.15 malam hingga 8.30 malam di sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi, di sini, 4 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, manakala tertuduh diwakili peguam M. Manoharan.

Ketika prosiding, Hench mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Manoharan memohon jumlah jaminan ditetapkan sebanyak RM500 dengan alasan tertuduh memberi kerjasama baik kepada pihak polis.

“Jumlah jaminan RM7,000 membebankan keluarga tertuduh, terutama penjaminnya iaitu bapa beliau. Malah, Inspektor Sheila juga telah berkhidmat sebagai pegawai polis selama sembilan tahun,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Aina Azahra membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,600 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Januari 2026 untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, polis memaklumkan wanita itu akan dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia susulan kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Terdahulu, tular satu video di media sosial yang dimuat naik wanita sama, mendakwa anggota polis terbabit mengugut lelaki Pakistan berkenaan.

Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, seiring beberapa kes lain yang pernah dikaitkan dengannya termasuk menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN