KUALA LUMPUR – “Cikgu kecewa. Hampir satu kelas tak siap jawab bahagian penulisan! Apa nak jadi dengan kamu semua?.”
Itu luahan seorang guru sekolah rendah yang tular di media sosial selepas memarahi murid-muridnya kerana majoriti mereka gagal menyiapkan bahagian terakhir kertas ujian akhir sesi akademik (UASA) subjek Bahasa Inggeris baru-baru ini.
Menurut guru berkenaan, hasil semakan menunjukkan hampir keseluruhan murid di kelasnya hanya menjawab bahagian objektif dan pemahaman, tetapi meninggalkan bahagian penulisan kosong tanpa sebarang usaha.
“Saya tanya kenapa tak jawab, mereka senyap. Bila disoal semula, rupanya mereka tak ulang kaji langsung di rumah. Alasan yang diberi ‘tiada siapa pantau, ibu bapa pun tak tengok kerja sekolah kami’,” katanya menerusi satu rakaman videi di Instagram.
Guru tersebut turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap sambil lewa pelajar terhadap pelajaran walaupun ujian akhir tahun sepatutnya menjadi ukuran kemajuan mereka selepas hampir setahun belajar.
Katanya, walaupun pihak sekolah sudah menyediakan sesi ulang kaji dan bimbingan tambahan di waktu sekolah, hasilnya tetap tidak memberangsangkan kerana murid tidak meneruskan pembelajaran di rumah.
“Kalau di sekolah cikgu tolong ajar, tapi di rumah tiada siapa yang pantau. Macam mana nak maju? Kita bukan boleh bergantung pada waktu sekolah saja. Inilah peranan kamu, ibu bapa kamu, keluarga kamu untuk bantu kamu capai matlamat akademik,” tegurnya.
Rata-rata netizen yang menonton video tersebut turut bersetuju dengan pandangan guru itu dan menyifatkan kurangnya penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak sebagai punca utama masalah berkenaan.
“Anak kecil memang perlukan dorongan dan disiplin daripada ibu bapa. Kalau ibu bapa tak ambil tahu, susah cikgu nak bentuk mereka seorang diri,” kata Azura.
Dalam pada itu, beberapa guru lain di ruangan komen turut mengakui menghadapi cabaran serupa, terutama apabila pelajar semakin bergantung pada gajet dan kurang motivasi untuk belajar tanpa pengawasan.
“Sama pun pening hadapi masalah sama dalam kalangan murid sekolah rendah, tak tahu apa mereka fikir, tak rasa bersalah atau takut bila biarkan kertas ujian tak siap,” kongsi seorang guru. – KOSMO! ONLINE














