PETALING JAYA – Tiga tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Najwa Latif selamat melahirkan zuriat sulung hasil perkongsian hidup dengan suaminya juga rakan duetnya, Akwa Arifin.
Kata Akwa, lebih istimewa apabila cahaya mata yang dinantikan itu hadir bertepatan sambutan ulang tahun perkahwinan mereka pada 11 November lalu.
“Alhamdulillah, Najwa dan saya bersyukur dan teruja untuk berkongsi bahawa kami dikurniakan cahaya mata pada 11.11.2025.
“Ini tarikh yang lebih bermakna kerana ia juga hari ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Begitupun, penyanyi rap terbabit tidak mendedahkan jantina bayi mereka.
Dalam hantaran sama, Akwa turut meluahkan perasaan syukur dengan kurniaan Ilahi selain memohon doa daripada pengikut laman Instagramnya.
“Doakan yang baik-baik untuk kami, dan semoga segala doa indah kalian kembali berlipat ganda buat kalian juga, insya-Allah,” ujarnya.
Sebelum ini, Najwa atau nama lengkapnya, Imratul Najwa Abdul Latif, 30, pernah mengalami keguguran pada akhir tahun lalu.
Pasangan yang pernah merakamkan lagu duet Tak Kisah Pun dan Dua mendirikan rumah tangga pada 11 November 2022. – KOSMO! ONLINE














