AMPANG JAYA – Mencampurkan minyak enjin terpakai dengan pewarna dan membotolkan semula menggunakan jenama terkenal sebelum dijual kepada pembekal dan pengguna.
Itu modus operandi sindiket pemprosesan dan pengedaran minyak enjin tiruan yang dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan di Kampung Baru Ampang, di sini hari ini.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, sejumlah enam premis diserbu secara serentak dalam operasi bermula pukul 10 pagi.
Menurutnya, siasatan mendapati keenam-enam premis tersebut mempunyai kaitan dalam satu rangkaian terancang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu.
“Setiap premis ada peranan dan fungsi masing-masing. Ada yang buat botol, isi minyak ke dalam bekas serta dijadikan stor simpanan, gudang alat ganti dan pejabat pengurusan.
“Kami percaya produk ini dibekalkan kepada pemborong dan pembekal yang kemudian mungkin menjualnya kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas serbuan.
Zuhairi berkata, sasaran jualan untuk minyak berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“hasil siasatan awal, kami percaya minyak itu diproses dari minyak enjin terpakai. Ia disyaki ditapis dahulu sebelum dicampur dengan pewarna.
“Sindiket ini kemudian mengisi minyak itu semula ke dalam botol berjenama seakan-akan produk tulen yang terdapat di pasaran,” ujarnya.
Katanya, dalam serbuan itu, seramai 42 individu ditahan terdiri daripada 14 warga tempatan dan 28 warga asing berusia dalam lingkungan 45 tahun.
“Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1 juta melibatkan minyak enjin tiruan termasuk peralatan dan mesin pemprosesan dan pembungkusan,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019. – KOSMO! ONLINE














