SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak peket dalam serbuan di sebuah gudang haram di Sungai Jawi, Nibong Tebal di sini, semalam.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 yang berlangsung pada pukul 8.30 malam itu dilaksanakan selepas risikian selama sebulan terhadap kegiatan sindiket terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan atas lokasi serbuan menemui 5,720 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg, 25 unit botol kosong minyak masak berkapasiti 5kg, sejumlah plastik kosong minyak masak peket 1kg pelbagai jenama. Turut ditemui dua unit tong biru yang disyaki berisi cecair minyak berkapasiti 150 liter (I) dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak yang dipindahkan daripada bungkusan asal.
“Kita dapati premis itu dijadikan lokasi untuk menjalankan aktiviti pemotongan minyak masak dalam bungkusan satu kilogram dan memindahkannya ke dalam tong biru 150 liter menggunakan peralatan khas.
“Tindakan ini dipercayai bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan tersebut bagi tujuan penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran. Nilai rampasan keseluruhan bagi kesemua barangan terbabit bernilai RM16,892,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN negeri di Bukit Minyak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gudang tersebut telah beroperasi selama tiga bulan tanpa mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit yang sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan oleh undang-undang.
Katanya, seorang lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan 40-an yang berada di lokasi telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Selain itu, pihaknya turut menyiasat dari mana individu berkenaan memperolehi bekalan minyak masak terbabit namun tidak menolak kemungkinan diperolehi dari negeri ini dan Perak berdasarkan jenama pada peket minyak terbabit.-KOSMO! ONLINE














