MANCHESTER – Manchester United dilapor memburu penggempur dari Liga Arab Saudi pada jendela perpindahan musim sejuk ini sebagai persediaan sekiranya mereka terpaksa melupakan khidmat penyerang utama, Benjamin Sesko.
Sesko mengalami kecederaan lutut ketika United terikat 2-2 menentang Tottenham Hotspur minggu lalu, namun belum disahkan tahap kecederaan tersebut.
Situasi itu menyaksikan United mahu membuat persiapan awal untuk mendapatkan pemain No. 9 baharu pada jendela perpindahan Januari nanti dengan menamakan Ivan Toney sebagai pemain buruan mereka.
Toney berhijrah ke Arab Saudi kira-kira 15 bulan lalu dengan menyertai Al-Ahli biarpun dikaitkan ke Old Trafford sebelum itu dan sudah meledak 41 gol dalam 59 penampilan bersama kelab berkenaan.
Musim ini, pemain berusia 29 tahun sudah meledak 11 gol dalam 15 perlawanan sekali gus menyebabkan United percaya pemain itu mampu menambah sengat jentera serangan mereka ketika Sesko juga belum benar-benar menemui sentuhan terbaik.
Kehadiran Toney juga dianggap mampu menambah variasi jentera serangan United untuk separuh kedua musim ini dengan membentuk gandingan bersama bekas rakan sepasukannya di Brentford, Bryan Mbeumo.
Nilai Toney dianggarkan £40 juta (RM219 juta), namun dengan kontrak dua tahun setengah berbaki di Al-Ahli serta usia menginjak 30 tahun pada Mac tahun depan memberi peluang buat United merendahkan yuran perpindahan. – AGENSI














