LIVERPOOL – Ketua pasukan Liverpool, Virgil Van Dijk percaya pasukan itu masih belum bersedia untuk mengakui kalah dalam perjuangan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.
Biarpun berdepan isu prestasi yang serius, pemain antarabangsa Belanda itu melaungkan keyakinan bahawa mereka mampu untuk memberikan saingan dalam perebutan trofi bersama Arsenal dan Manchester City musim ini.
Awal pagi kelmarin, Liverpool menanggung kekalahan kelima musim ini apabila dimalukan 0-3 oleh Manchester City pada aksi di Etihad sekali gus menyaksikan mereka berada di kedudukan kelapan saingan apabila hanya mengutip 18 mata.
“Ia adalah mengenai usaha mendapatkan tahap konsisten, kemudian mengekalkannya. Kami akan ke pasukan kebangsaan dan kembali semula ke kelab dengan keyakinan yang lebih baik.
“Kami tidak akan berputus asa dan mengaku kalah. Kita masih di bulan November dan musim ini masih panjang. Kami bersedia untuk pertarungan lebih hebat,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain pertahanan Liverpool yang kini bertugas sebagai pengulas, Jamie Carragher menamakan Ibrahima Konate sebagai pemain dianggap gagal beraksi dengan baik dan menjadi punca kekalahan kepada City sebelum ini.
“Saya tidak faham apa yang dia (Konate) cuba lakukan. Apabila Liverpool bolos atau benteng pertahanan mereka berdepan masalah, Konate berada dalam situasi itu. Ia terlalu kerap berlaku musim ini dan saya anggap dia tidak ada bersama pasukan musim ini,” jelasnya. – AGENSI














