KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) berjaya menumpaskan cubaan sindiket untuk menyeludup sebanyak 80.5 tan beras dari Thailand bernilai RM304,290 termasuk cukai selepas menahan dua buah treler di Jeli dan Kuala Krai baru-baru ini.
Rampasan dijalankan oleh Pasukan Operasi, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang pada 8 September dan 12 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan sebuah treler di Kampung Berdang, Dabong dekat Jeli pada 8 September lalu.Menurutnya, pemeriksaan di dalam treler itu menjumpai sebanyak 41 tan beras yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“JKDM Kelantan sekali lagi menumpaskan cubaan untuk menyeludup sebanyak 39.5 tan beras pada 12 Oktober lalu selepas menahan sebuah treler di Kampung Lata Rek, Kuala Krai dekat sini.
“Kedua-dua rampasan itu melibatkan sebanyak 1,610 guni beras dengan berat keseluruhan mencecah 80.5 tan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, rampasan beras dianggarkan bernilai RM304,290 termasuk cukai termasuk cukai sebanyak RM86,940.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, sindiket itu menggunakan treler dan kenderaan untuk mengangkut beras yang seludup dari pangkalan haram.
Tambah beliau, seorang pemandu treler ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














