fbpx
Hishamuddin (kanan) bersama mangsa jenayah ugutan ahlong, Danish (kiri) semasa sidang media anjuran MHO, di Megan Avenue, hari ini.

Dibogel dan video disebar, mangsa along rayu polis ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 34 tahun menanggung aib dan tekanan emosi selepas menjadi mangsa along tidak berperikemanusiaan yang memaksanya menanggalkan pakaian sebelum merakam serta menyebarkan video memalukan itu di media sosial.

Mangsa, Danish, mendakwa kejadian mengerikan itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di Subang ketika dia dipanggil oleh tiga lelaki dipercayai pemungut hutang along yang kononnya mahu menyelesaikan urusan pembayaran pinjaman.

“Saya dibawa ke tandas dan diugut dengan pisau. Mereka (along) suruh saya buka baju, seluar dan pakaian dalam. Saya ketakutan dan terpaksa ikut arahan. Mereka rakam saya dalam keadaan bogel, rampas telefon serta dompet, kemudian terus melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini.

Danish berkata, lebih memeritkan apabila rakaman video tersebut disebarkan ke kumpulan WhatsApp tempat kerjanya, sekali gus menyebabkan reputasinya hancur dan dirinya menjadi bahan ejekan rakan-rakan.

“Saya sangat malu. Keluarga saya pun tertekan sebab video itu tersebar luas. Sejak itu saya mengalami tekanan emosi yang teruk, malah pernah terfikir untuk membunuh diri,” katanya.

Katanya, semua derita itu bermula selepas dia membuat pinjaman sebanyak RM400 daripada along dalam talian, namun diminta membayar semula hingga RM1,200 dengan pelbagai caj tidak munasabah.

“Apabila saya tak mampu bayar, mereka ugut saya. Saya terpaksa pinjam dengan along lain untuk bayar along pertama. Dari situ saya terjerat. Pinjam yang ketiga untuk tutup yang kedua, sampai akhirnya hutang jadi lebih RM40,000,” jelasnya.

Menurut Danish, dia telah membuat dua laporan polis, satu mengenai ugutan daripada along dan satu lagi selepas dirinya dipaksa bogel serta dirakam. Namun sehingga kini, katanya, masih belum ada tindakan atau panggilan siasatan diterima daripada pihak berkuasa.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, yang mewakili mangsa, menzahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan tindakan siasatan dan sikap segelintir masyarakat yang memperlekehkan mangsa.

“Dia bukan suka-suka bogelkan diri. Dia dibogelkan di bawah ancaman dan ketakutan. Masyarakat sepatutnya bersimpati, bukan menjadikannya bahan lawak atau mengejek di media sosial,” katanya.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat pada 8 November lalu, namun pihak berkuasa masih belum membuka kertas siasatan yang sepatutnya melibatkan pelbagai seksyen di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kami desak PDRM segera bertindak di bawah Seksyen 383 (pemerasan), Seksyen 351 (serangan), Seksyen 503 dan 506 (ugutan jenayah), Seksyen 354 (cabul kehormatan), Seksyen 509 (menghina kehormatan), Seksyen 292 (penyebaran bahan lucah), dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” tegasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa MHO kini menerima lebih 50 aduan mangsa along sejak dua bulan kebelakangan ini, termasuk kes rumah dibakar, diugut bunuh dan diperdaya dengan modus operandi yang sama.

“Kami kesal ada agensi siasatan yang bukan sahaja lambat bertindak, malah ada yang menyuruh mangsa bayar semula kepada along , seolah-olah mereka yang bersalah. Sedangkan dalam undang-undang, peminjam tanpa lesen adalah salah dan perlu disiasat,” ujarnya.

Datuk Hishamuddin turut menyeru masyarakat agar tidak menularkan video mangsa kerana tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi turut menambah trauma yang dialami oleh Danish.

“Masyarakat perlu berhenti menghukum mangsa. Hari ini jadi pada dia, esok mungkin pada kita. Yang penting, bantu dia pulih dan berikan sokongan moral,” ujarnya.

MHO menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan kes ini serta memberikan bantuan guaman kepada mangsa bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan dan insiden sebegini tidak berulang. — KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN