KUALA LUMPUR – Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama hanya akan dipasang di ruang awam yang strategik dan berisiko tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, antara lokasi tersebut adalah laluan utama asrama termasuk pintu masuk dan keluar, kawasan tangga dan koridor.
Menurut beliau, lokasi strategik dan berisiko tinggi lain adalah dewan makan, bilik prep, bilik seterika serta kawasan persekitaran blok asrama yang terpencil.
“CCTV tidak akan dipasang di bilik tidur, tandas atau ruang persalinan kerana ia boleh mendedahkan aib pelajar dan melanggar prinsip hak asasi serta privasi.
“Sebagai langkah tambahan, pengawasan di ruang tersebut akan diperkukuh melalui rondaan warden secara berjadual,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung lokasi pemasangan CCTV di sekolah bagi mengelakkan kes buli berlaku di asrama.
Pemasangan CCTV di sekolah sebahagian daripada strategi memperkukuh pengawasan serta mencegah insiden buli dan salah laku di sekolah.
Terdahulu, Kah Woh memaklumkan, sebanyak 149 daripada 200 buah sekolah telah selesai dipasang CCTV dan ia akan diperluaskan kepada 333 sekolah berasrama yang lain.
Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM5 juta telah diumumkan sebagai tambahan kepada peruntukan RM3 juta sedia ada bagi tujuan tersebut.
Menjawab soalan tambahan Shahidan, beliau berkata, rakaman CCTV di sekolah berasrama boleh disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, penyelenggaraan CCTV berkenaan adalah dibawah tanggungjawab pihak pentadbir sekolah.
“Kita ada spesifikasi teknikal berkenaan dengan pemasangan CCTV termasuk sekurang-kurangnya ada ‘warranty’ (jaminan) satu tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE














